Forum komuniti Kelantan ~ isu semasa, info kampung, peluang kerjaya dan pengiklanan tempatan. Sertai MyKelantan hari ini!

Forums Forums Kelantan Di Hati Isu Semasa Bilangan pelancong luar negara ke Kelantan masih rendah

  • Bilangan pelancong luar negara ke Kelantan masih rendah

    Posted by mykelantan on 17 Ogos 2025 at 8:49 AM

    [caption id="" align="alignnone" width="1000"]Kamarudin (kiri) menyampaikan hadiah wang tunai RM1,000 kepada peserta juara memukat ikan dari APM. Kamarudin (kiri) menyampaikan hadiah wang tunai RM1,000 kepada peserta juara memukat ikan dari APM.[/caption]

    KOTA BHARU – Jumlah pelancong luar negara yang mengunjungi Kelantan masih rendah berbanding kehadiran pelancong domestik ke negeri ini tahun lalu.

    Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, berdasarkan data tahun 2024, Kelantan menerima seramai 11.54 juta pelancong, namun hanya 595,000 pelancong asing direkodkan melalui tiga pintu masuk sempadan.

    “Memang ramai pelancong luar negara melancong ke Malaysia, namun hanya mengunjungi Kuala Lumpur.

    “Kelantan kurang menjadi pilihan walaupun kami mempunyai banyak produk pelancongan yang unik,” katanya ketika ditemui sempena Pesta Memukat di Pantai Impian, Kemasin, di sini, pada Sabtu.

    Menurut beliau, sehubungan itu kerajaan negeri kini memberi tumpuan untuk mempromosikan Kelantan ke peringkat antarabangsa dengan menyasarkan pasaran China dan Jepun.

    “China antara negara yang kami lihat berpotensi kerana terdapat lima penerbangan harian dari Guangzhou ke Kuala Lumpur. Kami ingin ambil peluang tersebut.

    Tambah beliau, kerajaan Jepun sendiri mempunyai program menghantar warga emas bercuti ke negara beriklim panas kerana kos penjagaan lebih tinggi sekiranya mereka kekal di Jepun pada musim sejuk.

    “Kami akan melaksanakan promosi melalui Tourism Malaysia di Tokyo, selain mengadakan libat urus dengan ejen pelancongan antarabangsa.

    “Dengan produk pelancongan seperti aktiviti memukat ikan, wau, dan luncur ombak, kami berhasrat untuk mencapai sasaran 1 juta pelancong luar negara ke Kelantan,” katanya.

    Beliau berkata, meskipun kerajaan negeri memberi fokus kepada peningkatan pelancong luar negara, pelancong domestik tetap menjadi keutamaan kerana terbukti mampu merancakkan sektor pelancongan di Kelantan.

    Sementara itu, Kamarudin memaklumkan bahawa penganjuran Pesta Memukat Ikan yang diadakan buat pertama kali berlangsung meriah dan berjaya menarik penyertaan 120 individu daripada pelbagai agensi serta jabatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam.

    “Memukat ikan bukan sekadar warisan nelayan, malah ia diangkat menjadi produk pelancongan berasaskan pengalaman kepada pelancong yang berkunjung ke Kelantan,” katanya.

    Sinar Harian, 16 Ogos 2025

    mykelantan replied 2 months, 3 weeks ago 1 Member · 0 Replies
  • 0 Replies

Sorry, there were no replies found.

Log in to reply.